JUN 2021

Pendekatan Baharu Sarawak, Dapat Suntikan Baharu Daftar Untuk Luar Bandar


KUCHING: Penduduk terutama di kawasan luar bandar kini boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 meskipun belum mendaftar sebagai penerima vaksin di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan pendekatan negeri ini dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi selain memudahkan urusan penduduk yang sukar mendapatkan vaksin di kawasan masing-masing.

Katanya, selain menggunakan pendaftaran secara hybrid, kerajaan negeri turut menggunakan strategi baharu bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk luar bandar.

"Bagi mereka yang datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendapatkan vaksin walaupun nama tiada dalam sistem, mereka tetap akan diberikan suntikan dan setelah itu nama mereka akan dimasukkan dalam data penerima vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian setelah mengadakan lawatan ke Pusat Vaksinasi Vaksin Astrazeneca Covid-19 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Sementara itu, Abang Johari menambah sejumlah 380,000 dos vaksin Sinovac akan dihantar ke Sarawak pada 9 Jun ini manakala sejumlah 89,160 dos pula akan dihantar ke Miri pada 10 Jun.

Manakala katanya, seramai 30,000 pemohon yang telah berdaftar secara sukarela sebagai penerima vaksin Astrazeneca setakat ini dengan dua PPV diwujudkan di BCCK dan sebuah di Pusat Kemahiran Belia Negara di Miri.

"Seramai 1,000 dos suntikan vaksin Astrazeneca diberikan kepada pemohon setiap hari dan kita menjangkakan ia akan meningkat sekitar 3,000 suntikan sehari setelah angka pemohon yang mendaftar mencecah 30,000 orang," tambah beliau lagi.

Pada masa yang sama, Abang Johari turut mendedahkan bahawa Sarawak akan menerima 2 juta dos vaksin Pfizer dalam masa dua bulan akan datang.

Sumber dari : Jiwa Bakti